GOPENG: Perak menjadi negeri pertama yang memberi geran tahunan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

Perkara ini didedahkan sendiri Presiden PVATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Perwakilan PVATM Perak ke – 30 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di RTC Gopeng di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, selain geran RM100,000 yang diberikan kepada PVATM Perak, kerajaan negeri turut memberi geran RM3,000 kepada setiap 44 cawangan persatuan di seluruh Perak.

Dr Zambry di dalam ucapan berkata, selain meneruskan geran RM100,000 kepada persatuan negeri, kerajaan negeri juga meluluskan tambahan RM1,000 kepada setiap cawangan, menjadikannya RM4,000.

“Dengan bantuan itu, ditambah RM2,000 yang diberikan PVATM Pusat, bolehlah cawangan menjalankan aktiviti dan pentadbiran,” kata beliau.

Dr Zambry memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membantu rakyat, termasuk veteran tentera yang telah banyak berjasa menjaga keamanan negara.