IPOH: Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang memberi insetif kepada atlet orang kurang upaya (OKU) sama dengan yang dinikmati atlet biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kerajaan negeri berbangga diatas kejayaan atlet kelahiran Perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau memberitahu, seramai 57 atlet dari negeri Perak mewakili negara dalam Sukan SEA dan 23 atlet lagi dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan pingat yang diperolehi oleh negara dalam Sukan SEA, 39 pingat disumbangkan oleh atlet dari Perak manakala 27 pingat negara dalam Sukan Para ASEAN disumbangkan oleh atlet kelahiran Perak.

“Atlet-atlet ini telah diraikan ketika permukiman di Daerah Batang Padang pada 30 September lalu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Shahrul Zaman memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis penyampaian skim insentif kemenangan kepada mereka dan program satu pingat satu pokok Sukan SEA dan Para ASEAN, bulan hadapan.

Merujuk kepada isu yang ditimbulkan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan), beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan kerjasama rakan strategic daripada swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dapat memberi tambah nilai dalam pembangunan atlet SUKMA ke-19 Negeri Perak tahun hadapan.

Katanya, Majlis Sukan Negeri (MSN) giat menjalankan berbagai projek pembangunan melibatkan infrastruktur dan persediaan atlet.

Menurut beliau, bagi memeriahkan lagi sukan dwi tahunan itu, sekurang-kurangnya satu jenis sukan akan dipertandingkan di setiap daerah di negeri ini

Mengenai program Fit Perak, Shahrul Zaman memberitahu, dianggarkan 33,000 peserta telah mengambil bahagian di dalam program itu dengan 90 peratus daripada mereka adalah golongan belia.