IPOH: Perak menjadi negeri pertama mengadakan program kempen kitar semula di kuil dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sempena perayaan Thaipusam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah melancarkan program itu di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh Kalumalai dengan kerjasama Koperasi Alam Hijau Perak Berhad (Ko Hijau), Ipoh City Watch, M. Bike dan Persatuan Prihatin Wanita Perak.

Menurut Dr Zambry, langkah diambil jawatankuasa kuil merupakan satu pendekatan yang sangat baik kerana menyahut seruan kerajaan untuk menjaga kebersihan negeri Perak.

“Kebersihan adalah faktor manusia yang perlu kita lakukan dari masa ke semasa, kita pastikan supaya sentiasa bersih, tapi perkara ini perlu diperingatkan.

“Jadi kita mengambil pendekatan ini dan saya tidak mengatakan bahawa saya puas tak puas hati tapi kita kena meneruskan kempen besar -besaran supaya akhirnya masyarakat negeri Perak sentiasa menjaga kebersihan dalam kehidupan mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kitar Semula di Kuil Subramaniar, Gunung Cheroh Kalumalai, Ipoh pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.

MB kitar semula 2

Sementara itu Pengerusi Ko Hijau, Prof. Dr. Richard Ng berkata, pihaknya memilih kuil berkenaan sebagai lokasi pelancaran program kerana ia merupakan kuil terbesar yang menarik kira-kira 350,000 penganut agama hindu setiap tahun sempena sambutan Thaipusam.

“Kuil ini juga telah bersetuju untuk membantu menyumbang kepada bahan kitar semula dan masuk menggunakan sistem ko hijau i cycle.

“Jadi dengan cara ini kita sebenarnya benar-benar mengikuti konsep yang kita sebut sebagai sosial bussines city dimana sebahagian daripada jualan bahan kita semula ini akan disumbang balik kepada kuil,’’ ujarnya.

Sempena program kitar semula itu, lebih 100 anggota sukarelawan NGO menaiki beca mengelilingi kawasan perkarangan kuil sambil membawa sepanduk bertulis `jaga kebersihan Bandaraya Ipoh’.