Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perak adalah satu-satunya negeri yang meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar, sekaligus menampakkan komitmen, kesungguhan dan ketelusan kerajaan negeri untuk memerangi rasuah dan salahguna kuasa.

 

Perkara ini diakui sendiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad selepas Majlis Menandatangani Lafaz Ikrar Bebas Rasuah SPRM Perak di Bilik Mesyuarat Menteri Besar, di sini pada Rabu.

 

Beliau berkata, inisiatif Perak itu merupakan sesuatu yang wajar dicontohi oleh negeri–negeri lain.

 

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 2010, namun ia tidak diuar-uarkan kepada orang ramai.

 

Menurut beliau, ia adalah komitmen teguh kerajaan negeri untuk menyokong usaha SPRM dalam memastikan setiap aspek pentadbiran di negeri Perak berjalan tanpa sebarang gejala rasuah.

 

“Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk meletakkan pegawai di Pejabat MB sendiri, sejak tujuh tahun lepas bagi memastikan segala aturan kerja mematuhi undang-undang, bebas rasuah dan menepati garis panduan yang telah diberikan SPRM.

 

“Usaha ini juga akan dilaksanakan di semua agensi, jabatan dan semua pihak terlibat untuk turut melakukan perkara sama supaya mereka tidak terkesan oleh amalan dan perbuatan yang menganggu gugat pentadbiran,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani lafaz ikrar itu.

WhatsApp Image 2017-03-29 at 13.50.23

Dr Zambry berkata, hasil hubungan baik bersama SPRM pusat dan negeri, pihaknya dapat merujuk dan menyelesaikan beberapa isu penyalahgunaan kuasa dan penyalahtafsiran tentang peruntukan yang diberikan kepada mana-mana individu.

 

“Ada pihak yang bertindak menggunakan nama Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Exco Negeri untuk kepentingan sendiri, bagi projek dan sebagainya, jadi pegawai SPRM tersebut telah membantu kami mengenalpasti dan mengelakkannya.

 

“Ada juga laporan yang diberikan kepada SPRM, mengenai isu-isu tertentu dan mereka akan mengambil langkah sepatutnya hntuk memastikan perkara tersebut disiasat dan dikendalikan,” ujarnya lagi.

 

Dr Zambry berharap hubungan tersebut akan dapat dimantapkan lagi pada masa hadapan dengan lebih meluas dan erat bagi mencapai matlamat Perak bebas rasuah.