IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang mewujudkan Mahkamah Utama Syariah, peringkat ke empat mahkamah syariah selepas Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, Mahkamah Utama Syariah itu antara lain bertujuan mempertingkat serta memperkasa struktur, urusan pentadbiran dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di negeri Perak.

“Pada ketika ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 hanya memperuntukkan tiga lapisan Mahkamah di dalam sistem kehakiman syariah di negeri ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Oleh itu, adalah dicadangkan pindaan dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah,” katanya ketika membentangkan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Dewan kemudiannya meluluskan enakmen itu selepas dibahaskan oleh beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kerajaan dan pembangkang.

Asmuni berkata, cadangan pindaan itu telah mengambil kira titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada 6 Ogos 2018 lalu.

Selain itu, katanya, peruntukan mengenai tatacara kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut diperbaharui selaras dengan amalan tatacara kewangan semasa dan yang terkini.

Menurutnya, ketika ini, peruntukan mengenai tatacara kewangan dilihat sudah terlalu lama memandangkan amalan tatacara kewangan di MAIPk telah berubah dan berkembang.

Sementara itu, persidangan DUN Perak yang berlangsung enam hari bermula 27 November lalu, meluluskan tiga rang undang-undang dan empat usul.

Tiga rang undang-undang itu ialah Enakmen Perbekalan 2019, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Empat usul pula ialah Usul Pindah Peruntukan antara Kod Pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas Negeri Perak; Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2019, Usul Bayaran Elaun dan Kemudahan Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dan Usul Tambahan Siling Peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas Negeri Perak.

Dewan kemudiannya ditanguhkan pada jam 5.45 petang ke satu tarikh yang belum ditetapkan.