KAMPAR – Kerajaan negeri sedia untuk mempertimbangkan pemberian subsidi khas kepada pemaju yang ingin membangunkan rumah murah untuk golongan berpendapatan rendah di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu merupakan salah satu daripada insiatif yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri agar sektor swasta atau pemaju lebih berminat untuk membangunkan rumah-rumah jenis berkenaan.

“Kerajaan negeri telah menetapkan agar para pemaju untuk menitik beratkan pembinaan rumah-rumah murah selain rumah mampu milik, saya faham sukar bagi pemaju untuk bina rumah murah dalam kawasan-kawasan telah membangun.

“Namun kita perlu usahakan cari jalan bagaimana nak membina rumah-rumah ini bagi memenuhi permintaan rakyat memerlukan.

“Di Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Kerajaan negeri memang sedang giat bina rumah murah yang dipanggil Rumah Perakku di bawah harga RM70,000, tapi (mungkin) saya boleh bincang dengan pemaju bagiamana kita boleh keluarkan subsidi dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek rumah mampu milik Mahkota Kampar di sini pada Ahad.

Ahma Faizal juga turut memberitahu kerajaan negeri amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan sektor swasta untuk membangunkan rumah mampu milik atau rumah murah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Perak.

Katanya, melalui kerjasama dengan sektor swasta itu sasaran kerajaan negeri untuk membina sejumlah 50,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ini akan lebih dipermudahkan dan dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Kerajaan Pakatan Harapan menetapkan lebih 50,000 buah rumah mampu milik untuk kita bina, tentunya kerajaan negeri tak mampu membina keseluruhannya, namun dengan bantuan-bantuan pihak swasta kita akan dapat capai matlat ditetapkan secara bersama.

“Banyak lagi kawasan akan kita buka temasuk peluang untuk pihak-pihak swasta terlibat sama bagi kita mencapai matlat itu, kerajana negeri yakin 50,000 buah rumah mampu milik itu akan dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan,” ujar beliau.

Mahkota Kampar merupakan projek perumahan yang akan dibangunkan oleh Kumpulan Syarikat NCT di mana lebih 376 unit rumah akan dibina di atas tanah seluas 13.7 hektar dengan harga RM173,000 sehingga RM253,000 seunit.