KAMPAR: Perak akan mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan caj jalan raya (RC) bagi kenderaan dari Thailand yang memasuki negara ini melalui Pengkalan Hulu.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rundingan sedang dilaksanakan dengan pihak berkaitan khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri untuk mengenakan bayaran RM20 dan RM5 daripadanya akan diserahkan kepada negeri yang terlibat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan awal itu, dalam masa yang sama ia memberi imbalan yang baik kepada negeri yang terlibat.

“Kalau sekiranya ia dapat memberikan kebaikan kepada negeri khususnya melibatkan kenderaan daripada luar datang ke Malaysia, itu merupakan satu cadangan yang boleh kita pertimbangkan bersama-sama

“Paling penting ialah negeri-negeri yang terlibat hendaklah juga diberikan imbalan kerana salah satu daripada sebabnya kenderaan yang masuk dalam negara ia melibatkan kesan.

“Mungkin kita tidak nampak dari segi kesan secara tidak langsung ke atas kedudukan jalan raya yang ada dan kesesakan yang mungkin berlaku disebabkan oleh kenderaan luar yang masuk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Vasaikhi Tahun 2017 Peringkat Negeri Perak di Padang Astaka, Kampar pada Ahad.

Perak antara negeri yang mempunyai pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand selain negeri Perlis, Kedah dan Kelantan.