IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya pelabur melarikan diri dan enggan melabur di negeri ini.

Menurut Dr Zambry, walaupun Perak di tangga kelima dari segi pelaburan seluruh negara, jumlah pelaburan terus meningkat bagi tahun ini seperti sasaran yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, pelaburan ke Perak untuk dua tahun berturut, melebihi sasaran yang ditetapkan.

Katanya, jumlah pelaburan bagi tahun 2015 ialah RM3.8 billion mengatasi sasaran tahunan sebanyak RM2.71 billion manakala bagi tahun 2016 pula, sebanyak RM3.9 billion direkodkan, juga melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tahun lepas sebanyak RM2.9 billion.

Menurutnya, semua pelaburan ini telah dilaksanakan dan beroperasi, termasuk pembesaran Central Medicare di Kg Selabak Changkat Jong (sarung tangan getah), pembesaran Teleflex di Taiping (kelengkapan perubatan berasaskan getah), Comfort Rubber, Taiping (sarung tangan getah) di samping Sagami di Batu Gajah (membuat sarung getah) yang sedang dibangunkan.

“Kerajaan negeri melalui InvestPerak sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menarik pelabur dari dalam dan luar negara sejajar dengan saranan Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Negeri Perak (PIDAP),” katanya dalam sidang media sempena Sidang Dewan Negeri pada Khamis.

Dr Zambry berkata, langkah lain termasuklah mengenalpasti sektor-sektor industri dan pelabur baru seperti industri peleburan besi waja, pembentukan logam (metal fabrication), pembuatan komponen aeroangkasa, industri berkaitan ‘medical devices’ dan pembuatan komponen industri tenaga.

“Kerajaan negeri juga menggalakkan pembesaran operasi industri sedia ada dengan menerapkan penggunaan teknologi baru dan penglibatan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D),” ujar beliau.

Beliau memberitahu, terdapat banyak pelabur sedia ada yang sedang giat mengembangkan operasi dan mempelbagaikan produk mereka.

Menurut beliau, antara pelabur itu ialah Central Medicare Sdn Bhd, Lattex Manufacturing, BROMMA Sdn Bhd, Murata Electronics Manufacturing, Finisar Sdn Bhd, Tigges Fasterners, Yamaha Manufacturing, Sagami Sdn Bhd, Lhoist dan Envotech Sdn Bhd.