IPOH: Kerajaan negeri Perak merakamkan takziah di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri dan rakyat Perak merakamkan takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Jamilah Anu, anak-anak serta ahli keluarga.

“Saya merakamkan ucapan takziah dan turut rasa bersedih dengan kehilangan ini, Allahyarham Tan Sri Adenan merupakan tokoh yang amat disegani dan dihormati,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Dr Zambry, Allahyarham adalah seorang pemimpin berani dan berjiwa besar, yang sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap perancangan pentadbirannya.

Katanya, kejayaan Allahyarham memimpin parti dan negeri Sarawak berjaya menyatukan rakyat Sarawak, walau di manapun mereka berada.

“Sesungguhnya, kita semua terkesan dengan pemergian tokoh ini, semoga Allah merahmati roh beliau dan menempatkannya di kalangan orang yang beriman,’’ katanya.