IPOH: Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang giat merancang pembangunan tapak-tapak industri baru dan logistik bagi menarik pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, beberapa lokasi di negeri ini telah pun dikenal pasti yang mempunyai pontensi dan permintaan tinggi.

“Dalam perancangan ini beberapa lokasi yang berpotensi dan mempunyai permintaan tinggi telah dikenalpasti dalam keperluan untuk menambah keluasan taman-taman perindustrian sedia ada bagi menampung permintaan pelaburan supaya dapat menempatkan operasi perkilangan mereka.

“Namun pembangunan ini tidak semata-mata hanya tertumpu kepada kawasan dalam bandar kerana menjadi dasar kerajaan negeri untuk membangunkan Perak secara sama rata termasuk luar bandar,” katanya dalam sesi penggulungan ketika sidang Dun pada Selasa.

Justeru itu, beliau memberitahu, PKNP akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan taman-taman inudstri terutamnya di kawasan luar bandar.

“Ianya akan dilakukan dengan mengambilkira permintaan dan keperluan pelaburan dan jenis industri yang boleh dibangunkan di sesuatu kawasan itu.

“Kerajaan negeri turut akan mengenal pasti pelabur yang berpotensi untuk membuka operasi pengilangan mereka di kawsan luar bandar bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus menjana ekonomi kepada penduduk tempatan,” ujarnya.