IPOH: Kerajaan negeri Perak telah memulakan usaha untuk merangka Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu komuniti perniagaan di negeri ini, khususnya pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama perwakilan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) negeri Perak.

Ujarnya, antara langkah awal yang akan diambil susulan perbincangan itu adalah untuk meneliti semula waktu operasi pasar borong seperti yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP Fasa II, iaitu di antara jam 4 pagi hingga 10 pagi.

“Kita mula merangka Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu komuniti perniagaan di negeri ini khususnya pengusaha PKS,dengan bantuan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Sidang video semalam disertai oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak, Datuk Liew Sew Yee, Penasihat Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia Perak, Datuk Gan Tack Kong; Presiden Dewan Perniagaan India Perak, Ravi Shankar, Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia Perak, Tony Khoo Boon Chuan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, ujarnya kerajaan negeri juga bersetuju untuk memudahcara syarikat-syarikat yang telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meneruskan operasi dalam tempoh pelaksanaan PKP Fasa II, atau sehingga ia ditarik balik.

Beliau turut mengarahkan PEMUDAH Perak untuk memainkan peranan proaktif dalam memudahcara urusan dan proses permohonan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha sesi libat urus dengan perwakilan NCCIM dari masa ke semasa bagi membantu komuniti perniagaan dan pemain industri Perak yang menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran rakyat dan negeri ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri menghargai keprihatinan komuniti perniagaan dan pemain industri terhadap langkah melaksanakan (PKP) bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

Selain mengambil maklum kekangan yang sedang dihadapi oleh komuniti itu dan para pemain industri sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.id