IPOH: Perak akan memperkenalkan satu pelan strategik sumber manusia yang mampan berlandaskan revolusi perindustrian 4.0 tahun depan bagi mengenalpasti peluang dan ruang tenaga kerja untuk tahun 2018-2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelan itu dirangka bagi memberi impak kepada pembangunan dan pengurusan modal insan yang menyeluruh dan meningkatkan daya kreativiti serta inovasi rakyat Perak.

“Saya ingin meletakkan penanda aras apabila masyarakat Malaysia dan dunia bercakap tentang kreativiti dan inovasi, orang Perak lah nombor satu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama forum “Employability In Industry 4.0” anjuran Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) bersempena Pangkor Dialogue 2017 di sini hari ini.

Turut hadir beberapa anggota Exco kerajaan negeri seperti Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PEKa, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.

Lebih 350 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan individu mengambil bahagian di dalam program tersebut.

Dr Zambry berkata, forum sumber manusia yang dianjurkan itu adalah bagi mewujudkan platform yang menghubungkan institusi pendidikan dan kemahiran melibatkan sektor swasta dan syarikat GLC bagi memastikan kecekapan pengisian tenaga kerja di Malaysia khususnya di Perak.

Di samping itu, katanya, ia juga bagi membantu majikan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan menyaring calon-calon yang besesuian, dan menyediakan calon dengan surat tawaran pekerjaan untuk memenuhi keperluan pengambilan organisasi mereka.

“Selain itu adalah untuk menawarkan peluang-peluang kemahiran, skim dan program untuk pencari kerja yang berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, majikan boleh mendapatkan maklumat bagaimana PEKA boleh mengenal pasti calon-calon pada profil bakat mereka di Malaysia untuk semua peringkat kerjaya.

“Inilah inisiatif yang kita bawa supaya masyarakat dapat mendekati secara terus kemudahan dan perkhidmatan yang dibawa oleh PEKA,” katanya sambil memberitahu, sehingga kini lebih 40,000 belia di Perak telah memperolehi pekerjaan melalui PEKA.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, pengisian wacana tersebut berdasarkan idea daripada Menteri Besar sendiri yang mahukan satu program menjurus kepada kerjaya berdasarkan fasa industri berdasarkan teknologi, internet, digital serta robotik.

Menurutnya, teknologi bergerak dengan begitu pantas dan cabarannya bagaimana untuk memastikan anak muda akan sentiasa mengikut peredaran masa melibatkan kemahiran dan ilmu.

“PEKA telah mengambil tindakan proaktif dengan memperkenalkan program Reskilling & Upskilling sejak dua tahun lalu, supaya generasi muda kita sentiasa relevan berdasarkan kemahiran dan ilmu supaya pelajaran mereka tidak ketinggalan serta memenuhi keperluan industri,” katanya.