IPOH: Objektif utama Perak sebagai tuan rumah bagi para perwakilan wanita berkaliber dari seluruh negara akhirnya tercapai malah melebihi sasaran sebenar, kata Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Perhubungan Negeri Perak itu berkata, mereka merancang susunan aktiviti hari pertama dengan bertujuan untuk membolehkan ahli berinteraksi sesama secara rapat dan interaktif.

Beliau yang juga merangkap isteri kepada Menteri Besar Perak berkata, perwakilan negeri Perak amat teruja dengan kehadiran kesemua wanita-wanita waja itu, baik ahli biasa mahupun AJK pusat LKPIM dari ibu negara.

“Kegembiraan dan kebanggaan kami ini adalah Perak diberikan kepercayaan untuk menjadi hos kepada semua rakan-rakan LKPIM yang datang jauh dari Sabah, Sarawak ataupun yang dekat sekalipun, bukannya hanya bermesyuarat atau membincangkan hal ehwal kesatuan kita.

“Kesempatan ini saya harap dimanfaatkan sepenuhnya di mana setiap kita mempunyai masalah masyarakat setempat atau di kawasan masing-masing, maka itulah yang merapatkan ukhuwah dan sillaturahim selain komen dan pandangan membina,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Santapan Malam Cempaka Sari di kediaman Menteri Besar pada malam Isnin.

 

  

Dalam majlis tersebut, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada LKPIM Daerah dan Cawangan bagi sebarang aktiviti melibatkan bulan penuh kesyukuran itu.

Antara tetamu kehormat yang menyerikan Majlis Makan Malam itu adalah, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, dan Yang Dipertua LKPIM, Tuanku Ampuan Najihah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin.