Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perak bakal merangka sebuah pelan strategik dengan kerjasama daripada pelbagai agensi dalam usaha untuk merealisasikan matlamat sifar pemburuan harimau secara haram di negeri ini dan seterusnya, dijadikan model bagi negeri-negeri lain.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, untuk tujuan tersebut, kerajaan negeri mengulangi komitmen dalam menangani isu pemburuan haram haiwan terancam itu, khususnya di sekitar hutan Belum-Temengor di negeri ini.

Beliau berkata, pendekatan strategik itu akan dilaksanakan melalui penubuhan sekretariat yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Komitmen ini bukan sahaja datang daripada Tuanku Sultan, malah kerajaan negeri bersedia untuk menerima pandangan, saranan serta cadangan yang akan diperhalusi dan seterusnya dilaksanakan untuk memantapkan perancangan kita dalam menjadikan Perak sifar pemburuan haram Harimau Malaya.

“Usaha ini memerlukan bantuan dan kerjasama semua pihak, baik dari badan bukan kerajaan atau swasta, apatah lagi ianya meliputi kawasan seluas 8,000 kaki persegi dan merupakan salah satu habitat terbesar populasi Harimau Malaya di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi tertutup Dialog Mempertingkatkan Pemuliharaan Harimau Malaya di Kompleks Hutan Belum-Temengor anjuran World Wildlife Fund (WWF) di Hotel Impiana di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan mencemar duli berangkat menghadiri dialog berkenaan.

Dr Zambry berkata, Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Perak telah dipersetujui sebulat suara untuk menerajui usaha tersebut manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilantik sebagai wakil kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Dunia WWF Malaysia, Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata, kesungguhan negeri Perak dalam menangani isu tersebut amat objektif malah mendapat sokongan daripada Sultan Nazrin sendiri.

Katanya, Sultan Nazrin yang hadir dalam sesi dialog itu turut menyuarakan kebimbangan baginda dalam usaha pemuliharaan untuk memastikan penglibatan dengan kira-kira 5,000 orang Orang Asli di kawasan itu.

Beliau berkata, di bawah teraju UPEN, sekretariat berkenaan akan disertai oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pasukan bersenjata dan NGO yang berteraskan alam sekitar.

Menurut Dr Dionysius, pada masa sama, WWF sedang meneliti bagaimana pelaksanaan pelan membanteras pemburuan haram di Hutan Belum-Temenggor boleh digunakan sebagai model di seluruh negara.

“Penelitian ini akan melibatkan kerjasama rapat dengan negara jiran kerana penyeludupan haiwan terancam adalah jenayah rentas sempadan.

“Oleh itu, dalam hal ini, kita melihat prestasi pelan pemuliharaan harimau yang sedang dilaksanakan oleh Nepal yang membuahkan hasil pemburuan sifar pada tahun 2011 dan 2014,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya kini sedang meneliti cadangan untuk meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi membolehkan tindakan yang lebih keras dapat diambil oleh agensi penguatkuasa itu.

Katanya, pindaan tersebut kelak bakal menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan ke atas jenayah memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Seksyen 68 dan Seksyen 69 akta berkenaan.

“Hukuman maksimum akan dipinda sehingga RM1 juta dan penjara lima tahun, termasuk sebatan,” katanya.

Beliau juga berkata, tinjauan mengenai populasi harimau di Malaysia yang telah dimulakan pada awal 2017 dijangka selesai menjelang akhir Disember ini.