SERI ISKANDAR: Perak akan mengumpul kesemua aspirasi yang dilontarkan di dalam dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk dijadikan panduan ketika membuat dasar negeri untuk belia.

 

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kesemua aspirasi yang disampaikan ketika dialog tersebut amat memberangsangkan dan memberi idea baharu kepada kerajaan negeri dalam membentuk dasar untuk belia bagi memastikan Perak dapat menjadi negeri maju.

 

“Ke semua aspirasi-aspirasi yang dilontarkan dalam dialog ini cukup-cukup baik, kita akan kumpul kesemua yang disampaikan ini kerana kita perlu ingat belia-belia merupakan peneraju pada masa hadapan.

tn504

“Kita tidak boleh katakan tidak kepada mereka (belia) atau belum waktunya untuk mereka tetapi sebenarnya ini lah waktu mereka, kita perlu dengar apa yang mereka katakan,” katanya ketika berucap merasmikan dialog TN50 di UiTM Seri Iskandar pada Rabu malam.

 

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan barisan exco kerajaan negeri.

 

Dr Zambry dalam rumusan dialog tersebut turut memberitahu generasi ketika ini mempunyai nilai keyakinan yang tinggi dan beliau percaya misi TN50 itu akan dapat dicapai menjelang 2050.

 

“Bila kita bicarakan tentang TN50, ianya bukan digagaskan untuk zaman saya, tetapi untuk anak cucu kita, pendekatan ini dilakukan untuk mendengar suara anak muda iaitu generasi masa hadapan.

tn505

“Kita dapat saksikan keyakinan yang ada dalam jiwa mereka hari ini, insyaallah generasi-generasi ini lah yang akan menjadi satu generasi yang hebat  memimpin negara,” ujar beliau.

 

Dalam pada itu Khairy dalam ucapan rumusannya mengakui dialog yang diadakan di negeri ini merupakan yang paling terbaik pernah diadakan.

 

“Ini merupakan siri jelajah keempat TN50, saya boleh katakan Perak merupakan negeri terbaik dari segi aspirasi-aspirasi yang dilontarkan oleh belia-belia,” ujar beliau.