IPOH: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr Maszlee Malik di atas perlantikannya sebagai Menteri Pendidikan yang berkuatkuasa hari ini.

Mat Lazim berkata beliau mewakili seluruh kakitangan JPN negeri menyambut baik perlantikan itu kerana yakin Dr Maszlee yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Beliau menyifatkan perlantikan tersebut sebagai amat tepat berdasarkan pandangan serta cadangan untuk memperbaiki sistem pendidikan di negara ini yang pernah diutarakan oleh Dr Maszlee sebelum ini.

“Kita rasa, kita dapat individu yang betul, dan apa yang akan dibawa oleh beliau (dalam sektor pendidikan). Dia pun ada bercakap di TV, suratkhabar dan kita menyokong penuh, tak ada masalah,kita akan laksanakan apa yang diarahkan,”katanya kepada pemberita.

Hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tiba di Kompleks E Kementerian Pendidikan jam 9.30 pagi, bagi memulakan tugas dan disambut oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Maszlee merupakan antara 13 orang menteri Kabinet baharu yang mengangkat sumpah jawatan semalam (Isnin) di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.