MANJUNG: Perak meneruskan kelainan sambutan tahun baru dengan mengadakan program Selawat Perdana di Stadium Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut sempena menyambut tahun 2017.

Selawat yang dipimpin tokoh selawat nusantara, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dihadiri lebih 12,000 umat Islam yang datang seawal jam 6 petang.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli; Panglima Bantuan, Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.

Program dimulakan dengan persembahan qasidah oleh dua kumpulan tempatan, Ash-Sohabah dan Ahbabul Baraqah yang diikuti solat berjemaah Maghrib dan Isyak.

Habib Syech Abdul Qadir Assegaf kemudiannya memimpin selawat sehingga kira-kira lima minit sebelum jam 12 malam.

 

selawat-perdana-2017-2

Menjelang detik tahun baru 2017, Dr Zambry memimpin doa yang antara lain memohon diberikan kesejahteraan dan kekuatan kepada anggota tentera untuk terus mempertahankan negara dan kesejahteraan rakyat.

Tepat jam 12 malam, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf memimpin kalimah Syahadah yang diikuti oleh umat Islam yang hadir.

selawat-perdana-2017-3

Sambutan tahun baru 2017 diakhiri dengan lagu Negaraku dan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali.