IPOH: Perak mensasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 usahawan bumiputera yang mampu mengeksport produk mereka keluar negara, dalam setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, ia selaras dengan sasaran peringkat pusat untuk melahirkan 400 usahawan eksport menjelang 2020.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perancangan yang telah disusun oleh semua pihak berkenaan.

“Buat masa ini kita ada kira-kira 50 usahawan bumiputera yang dalam kategori dua dan tiga bintang, yang berpotensi untuk ke pasaran eksport,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Siri Promosi dan Latihan Pra Eksport program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) di sini pada Isnin.

Seramai 45 usahawan bumiputera menyertai siri itu yang diadakan selama dua hari bermula Isnin.

perak-sasar-usahawan 2

Hadir sama Pengarah SME Corporation Malaysia Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

Samsudin berkata, antara pengisian yang sedang dijalankan untuk mencapai sasaran itu ialah membantu usahawan memenuhi syarat yang diperlukan bagi membolehkan mereka layak untuk mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan.

Menurut beliau, antara syarat yang perlu ada ialah sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan halal.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Samsudin berharap agar usahawan bumiputera mengambil peluang yang disediakan bagi meningkatkan lagi kualiti produk mereka sehingga mampu ke pasaran eksport.