TAPAH: Perak mensasarkan 50 peratus daripada lebih 1,230 koperasi mikro dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada kategori kecil menjelang 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, dalam masa sama, kerajaan negeri juga berharap 19 koperasi dalam kategori besar dan 59 sederhana dapat terus meningkatkan perniagaan mereka.
IMG-20170715-WA0003
Beliau memberitahu, setakat ini, Perak mempunyai 1,449 koperasi berdaftar di seluruh negeri di mana lebih 90 peratus dalam kategori mikro kerana mempunyai urusniaga kurang daripada RM200,000 setahun.
“Kita harap dengan adanya Pelan Tindakan Strategik pembangunan koperasi yang dilancarkan Menteri Besar tahun lalu, semua koperasi di Perak dapat diperkasakan,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 26 Koperasi Juara Tapah Berhad di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu.
IMG-20170715-WA0005
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak, Zainun Hamzan Stapa, Pengerusi Koperasi Juara Tapah, Adnan Puteh dan Yang Dipertua Koperasi Juara Tapah, Razali Abu Bakar.
Samsudin di dalam ucapannya berharap koperasi, khususnya yang besar dan mempunyai modal, tidak hanya menumpukan kepada perniagaan tradisional, sebaliknya menceburi bidang baharu, misalnya mewujudkan perkampungan atau perumahan koperasi dan perkampungan perkahwinan.
“Perkampungan perkahwinan yang dilengkapi dengan dewan, chalet dan kemudahan riadah boleh mewujudkan usahawan baru dalam bidang seperti katering, andaman, salon dan penyediaan cenderahati di samping memberi peluang kumpulan kompang dan marhaban untuk menambah pendapatan,” ujarnya.
Sementara itu, Adnan memberitahu, Koperasi Juara Tapah yang mempunyai keahlian 1,000 memperolehi keuntungan lebih baik pada tahun kewangan 2016, berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, koperasi membayar 5 peratus dividen di samping elaun kehadiran RM150 kepada setiap ahli yang hadir pada mesyuarat agung berkenaan.
Pada majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sumbangan dermasiswa kepada anak ahli-ahli koperasi di samping menyaksikan penyerahan zakat RM55,883.51 kepada wakil Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).