KUALA KANGSAR: Perak sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam seperti banjir di beberapa daerah negeri ini ekoran musim monsoon yang berlaku sekarang.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, semua agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), barisan Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) di negeri ini telah diarahkan dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya bencana itu berlaku.

Menurut beliau, peringatan itu diberikan ketika mesyuarat mingguan Exco semalam, bagi memastikan semua pihak berada di dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tindakan pantas akan dilakukan sekiranya ia berlaku seperti kerja-kerja pemindahan mangsa dan pemberian bantuan yang diperlukan kepada mereka, peruntukan khas kepada setiap pejabat daerah untuk menangani masalah ini juga memang sudah sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Bijak Pra Sekolah Kementerian Pendidikan peringkat negeri Perak, di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal memberitahu, setakat ini, hanya sebuah pusat pemindahan banjir telah dibuka di Changkat Jong ekoran banjir di tiga buah kampung di kawasan berkenaan.

“Pejabat daerah Hilir Perak telah mengambil tindakan segera untuk membantu mangsa-mangsa banjr yang terlibat, pemantauan juga sedang giat dilakukan di tempat-tempat berisiko yang lain,” kata beliau..

Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 46 keluarga melibatkan 164 mangsa telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara SK Changkat Jong ekoran limpahan air sungai Bidor akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Tiga kampung yang terlibat ialah Kampung Batu 9, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 7.