KUALA LUMPUR: Bakal tampil di pentas kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) membuatkan Perak bersedia untuk membawa masuk bintang Piala Dunia Brazil, Ronaldinho ke Ipoh pada musim depan.

Bekas pemenang Ballon d’Or sebelum ini pernah menyatakan hasrat secara serius untuk beraksi di Liga Malaysia secara percuma apabila mengakui tertarik dengan layanan dan keghairahan peminat di Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pengalaman yang ada pada Ronaldinho amat diperlukan skuad The Bos Gaurus untuk melepasi pusingan kedua kelayakan ACL yang dijangka berlangsung pada Februari depan.

Katanya, mana-mana ejen yang mengenali bekas tonggak Barcelona itu boleh menghubunginya atau membawa pemain itu ke Ipoh bagi ditawarkan kontrak.

“Saya bersedia membuka pintu untuk dia (Ronaldinho) hadir ke sini. Kalau ada ejen yang boleh menghubungkannya dengan pemain itu saya boleh menawarkan tempat dalam pasukan.

“Kalau dia bersedia untuk berkhidmat secara percuma, apa salahnya kita membuka ruang kepada dia berbakti ke negeri Perak. Kalau ada ejen saya amat alu-alukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ronaldinho, 38, pada Januari lalu sudah mengumumkan persaraan dan kini hanya memberi fokus kepada akademi miliknya dan kariernya sebagai pemuzik.

Ujar Hasnul lagi, beliau percaya faktor usia bukan penghalang buat Ronaldinho untuk kembali menemui sentuhan ajaibnya yang pernah menjulang Piala Dunia pada 2002 bersama tiga ‘R’ iaitu Ronaldo, Rivaldo dan Roberto Carlos ketika itu.

“Faktor umur bukan masalah, lebih-lebih lagi apabila bermain di Asia ini. Dia masih lagi mampu bermain di liga tahap Asia, malah kehadiran dia juga boleh membantu menarik penaja untuk melabur bersama pasukan,” katanya.

Skuad The Bos Gaurus dijangka mengisi satu slot mewakili Malaysia di pentas AFC selepas berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim yang diberikan tiket secara automatik ke peringkat kumpulan ACL – berita harian