CAMERON HIGHLAND: Selepas dua tahun pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik (PTS) Pembangunan, Pemerkasaan dan Pemantapan Sektor Usahawan, Koperasi dan Peniaga Kecil 2016 – 2020, kerajaan negeri Perak mengorak langkah untuk membangunkan Petunjuk Penanda Aras (KPI) sektor tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, selepas dua tahun pelaksanaan PTS itu, didapati banyak lagi kekangan yang tidak dapat diatasi.

4138484f-62d0-4989-bba3-2fdd029c68e3

Menurut beliau, antara kekangan utama ialah bagaimana untuk menyediakan data e-usahawan di negeri ini.

“Data-data ini amat penting untuk kita melihat sejauh mana kita perlu bantu usahawan yang ada di Perak yang dianggar mempunyai 75,000 PKS (perusahaan kecil dan sederhana),” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan progran percambahan minda, arah tuju kelestarian usahawan negeri Perak 2018 di sini malam tadi.

Program tiga hari sehingga Jumaat ini antara lain untuk menambah baik rancangan pembangunan usahawan, selaras dengan keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Program itu dihadiri kira-kira 20 wakil jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan usahawan negeri Perak.

ceded5f5-cb52-4e5b-ab8a-9f1d78aaab71Samsudin berkata, pihaknya mengadakan program itu untuk mengatasi kekangan-kekangan berkenaan yang semakin mencabar, apatah lagi dengan peruntukan yang diluluskan dalam bajet kerajaan pusat kira-kira RM22 bilion

“Kita mahu melihat, daripada peruntukan itu, berapakah jumlah yang disalurkan kepada jabatan dan agensi yang terlibat dengan keusahawanan di negeri Perak.

“Sudah pasti permohonan-permohonan itu hendaklah datang daripada usahawan sendiri dan kalau kita tiada data yang lengkap, sudah tentu peruntukan yang besar itu tidak dinikmati di Perak.

Samsudin memberitahu, kekangan lain di dalam usaha untuk membangunkan usahawan di negeri ini ialah ketiadaan jawatankuasa pembangunan usahawan yang formal, tiada KPI, tiada pengkalan data mengenai maklumat seperti usahawan berjaya gagal dan jumlah bantuan diberikan di samping kurangnya susulan terhadap usahawan yang telah diberi bantuan.

Sehubungan itu, kata beliau, isu-isu tersebut akan dibincangkan dengan panjang lebar untuk mencari resolusi yang akan dipanjangkan ke pengetahuan kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Kita berharap selepas program ini, ia akan menampakkan satu hala tuju lebih tepat, apatah lagi lebih 80 peratus daripada 75,000 PKS di Perak masih dalam kategori usahawan mikro, di bawah RM200,000 ketika ini, termasuk yang telah berniaga puluhan tahun, masih di takuk lama,” ujarnya.