IPOH – Kerajaan Perak bersetuju menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam di negeri ini kepada 18 tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu selaras dengan cadangan Kerajaan Persekutuan agar had umur tersebut dinaikkan.

Menurutnya, pindaan terhadap undang-undang sedia ada mengenai had umur itu akan dibawa ke dalam Sidang DUN akan datang iaitu pada Julai untuk dibahaskan.

“Kita pada dasarnya telah bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi kita belum lagi membawa perkara itu ke dalam Sidang DUN untuk kita jadikan undang-undang.

“Tetapi pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan kerajaan persekutuan untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Buku Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Masyarakat Perak, Wong May Ing dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Ruhaini Zawawi.

Dalam Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi wanita kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu – sinar harian