IPOH: Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan suatu persefahaman di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai agensi berkaitan untuk membantu perniagaan trak makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, buat masa ini garis panduan yang seragam tidak dapat dijalankan disebabkan lesen oleh setiap PBT tidak sama.

Selain itu, kata beliau JPJ juga turut terlibat dalam memberikan kepada pengusaha trak makanan dengan syarat dan kriteria yang berbeza dengan mengambil kira tempat-tempat perniagaan yang berbeza.

“Sebagai contoh, pihak PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) telah menyediakan tempat khas untuk pengusaha trak makanan di Bulatan Amanjaya, Meru dengan garis panduan dari Majlis Bandaraya Ipoh yang tidak boleh diguna pakai oleh PBT lain kerana keperluan serta persekitaran yang berbeza,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Samsudin berkata, dalam perancangan keusahawanan kerajaan, golongan B40, terutamanya dari golongan muda sememangnya tidak terpinggir dan telah disediakan rancangan.

Menurut beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan telah merangka pelbagai program yang berbentuk kewangan dan bukan kewangan untuk membantu golongan tersebut, antaranya skim pinjaman mikro oleh Yayasan Bina Upaya, Program Tunas Usahawan Belia (TUBE), Teman TEKUN dan Skim Mudahjaya oleh MARA.

Beliau memberitahu, sehingga kini seramai 113 orang usahawan B40 telah berjaya dilahirkan melalui program TUBE.