IPOH: Pelan pembangunan jangka panjang negeri Perak akan diselaraskan dengan perancangan jangka panjang peringkat kebangsaan yang dikenali Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini, usaha membangunkan negeri telah direncanakan mengikut acuan pelan pembangunan Perak Amanjaya yang memberi fokus kepada transformasi secara inklusif yang merangkumi tiga aspek utama.

“Tiga aspek utama itu ialah pembangunan sosio-ekonomi, sektoral dan fizikal,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Dr Zabry Abd Wahid (BN – Trong) dalam Sidang DUN pada Rabu.

Dr Zambry berkata, dari aspek pembangunan sosio-ekonomi, pendekatan telah diambil untuk memberi keutamaan kepada tujuh bidang keberhasilan utama.

Katanya, bidang-bidang itu melibatkan soal pengagihan pendapatan, mewujudkan masyarakat berilmu, berkemahiran dan menjadikan kerajaan sebagai nadi pembangunan, jaringan infrastruktur dan kemudahan awam, keadaan generasi muda dan gagasan sektor swasta yang mampan dan amalan mesra alam.

“Pelbagai usaha telah diambil untuk memastikan negeri Perak diurus secara bertanggungjawab dan berkesan,” ujar beliau.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke – 13 (PRU-13), kerajaan telah membawa banyak pembaharuan dan pelaksanaan pelbagai inisatif untuk memastikan ekonomi negeri sentiasa kukuh dan terus berkembang, sekalipun berhadapan dengan pelbabagai cabaran ekonomi yang tidak menentu di peringkat global.

Beliau memberitahu, antara kaedah dan pendekatan untuk meningkatkan tahap keberhasilan program pembangunan serta keberkesanannya ialah program Permukiman Menteri Besar.

“Program ini merupakan kesinambungan program turun padang yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010 lagi, dengan pelbagai program dan aktiviti yang beroritentasikan rakyat,” tambah beliau.

Menjawab soalan wakil yang sama, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri tidak mengabaikan pembangunan di daerah dan kawasan terpencil di negeri ini supaya rakyat di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negeri.

Menurut beliau, antara langkah yang dibuat ialah pembangunan pekan-pekan kecil, termasuk pekan kecil Trong.

Untuk mengikuti titah ucapan penuh Sultan Perak secara livestreaming sila layari laman web http://suaraperak.com/sidang-dun/