GOPENG: Perak akan menyelesaikan sendiri masalah bas pengantara di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak mahu lagi mengharapkan apa-apa dari Kementerian Pengangkutan mengenai perkara tersebut.

Sebaliknya, kata Dr Zambry, beliau telah meminta daripada pihak di Perak sendiri untuk menyediakan bas pengantara.

“Saya telah meminta Exco kita (Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi) untuk bekerjasama dengan syarikat Perak Transit untuk menyediakan perkhidmatan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan PVATM Perak di RTC Gopeng pada Sabtu.
Ditanya mengenai kejadian hakisan tanah di landasan yang telah dibaiki, Dr Zambry berkata, beliau belum menerima laporan lanjut mengenainya.

Bagaimanapun, ujarnya, kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan dan lapangan terbang itu kini selamat digunakan.