IPOH– Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan Persatuan Fotografik Perak untuk menjadikan Ipoh khususnya dan Perak amnya sebagai ‘photo town’ yang diyakini memberi pulangan lumayan kepada industri pelancongan kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga yakin dengan keunikan dan keindahan yang terdapat di Perak, sesuai buat para pengusaha fotografi untuk memperkenalkan kawasan tersebut kepada pegunjung.

“Begitu banyak tempat indah di sini (Perak), seperti mana yang dikatakan oleh Presiden Persatuan Fotografik Perak iaitu menjadi trend untuk pasangan pengantin ambil gambar di luar negara.

“Saya fikit tempat kita tidak kurang cantiknya, belanja pun tak besar berbanding ke luar negara. Kita boleh buat sesuatu atau perhebatkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan bergambar seperti di Taman Dr. Seenivasagam dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pameran Pertandingan Fotografi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Aeon Big Falim di sini pada Jumaat.

Yang turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Fotografi SUKMA ke-19 merangkap Presiden Persatuan Fotografik Perak, Chuah Ai Ngor.

Sementara itu, Chuah dalam ucapannya turut berharap agar kerajaan negeri dapat menyediakan fasiliti dan kemudahan bagi membantu pengusaha fotografi dan sektor korporat di Perak.

“Pakej gambar pengantin mempunyai potensi besar dan pulangan lumayan, ia bakal memajukan industri pelancongan, hotel dan restoran.

“Harapan kita untuk menarik lebih ramai pasangan tempatan atau luar negara mengambil gambar pengantin di tempat kita sendiri dengan pakej menarik mengikut trend,” kata Chuah.

Dalam majlis itu, Ahmad Faizal menyampaikan hadiah kepada iaitu Fu Chi Sam dari Sabah yang merangkul tempat keseluruhan, tempat pertama dimenangi oleh Michael Ooi Ewe Hock dari Perak.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Ngo Kok Foong dari Perak dan ketiga Tan Chear Huai juga dari Perak.