IPOH: Kerajaan negeri Perak bersetuju untuk memberi elaun tanggungjawab khas (ETK) kepada ketua pembantu tadbir (pengkeranian/operasi) gred 22, 26 dan 28 tanpa syarat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Beliau percaya, Tun Dr Mahathir bersedia untuk mendengar cadangan untuk memperbaiki skim perkhidmatan itu kerana beliau merupakan seorang yang menerima apa juga pandangan.

“Tetapi akhirnya apa juga keputusan yang kerajaan akan buat tentunya akan memikirkan tentang kepentingan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Halatuju Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Negeri Perak 2018 di sini, hari ini.

Wacana anjuran Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Negeri Perak dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said dan Pengerusi AUEGCAS Negeri Perak, Ibrahim Ngajimi Mat Tahir.

Ahmad Faizal menjelaskan bahawa pihak kesatuan telah lama memohon ETK dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini telah meluluskannya tetapi dengan syarat mereka perlu menyelia kakitangan bawahan.

“Sebelum ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri meluluskan pemberian itu dengan syarat tetapi hari ini, setelah berbincang dengan Sumber Manusia, kita telah bersetuju membuatkannya tanpa syarat,” tambah beliau.

Menteri Besar turut bersetuju untuk menjadi penaung kesatuan bagi memartabatkan skim perkhidmatan pembantu tadbir yang selama ini dikatakan kurang mendapat pembelaan kerana jauh ketinggalan dengan skim-skim perkhidmatan lain, walaupun suatu ketika dahulu dikatakan dalam gred yang sama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, walaupun mereka memperjuangkan perkara-perkara tersebut, tetapi dalam masa yang sama, kesatuan juga mesti mengambil tindakan untuk memastikan sistem penyampaian juga mesti bertambah baik.

“Kalau bagi pembantu tadbir yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik atau pun dengan sepatutnya, mereka juga seharusnya dikenakan tindakan-tindakan seperti yang ada di dalam peruntukan yang ada.

“Ia perlu dua hala, bukan semestinya mereka hanya meminta bermacam-macam tetapi mereka juga mesti melaksanakan apa yang dituntut terhadap mereka, tidak boleh satu jalan,” ujarnya.

Secara amnya, Ahmad Faizal berkata, ada banyak masalah yang dihadapi oleh pembantu-pembantu tadbir dan kerajaan negeri cuba mencari jalan supaya mereka datang kerja dengan senyuman, dan dalam masa sama memberi perkhidmatan yang baik.

Sementara itu di dalam ucapannya, beliau turut meluluskan geran bantuan sebanyak RM100,000 kepada kesatuan.