TAPAH – Kerajaan negeri Perak menyokong pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikurangkan sebelum dihapuskan sama sekali.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap penyediaan peluang pekerjaan serta memberi ruang berdikari lebih berkesan untuk mengupayakan rakyat negara ini berbanding BR1M adalah tepat.

“Ianya (BR1M) seperti tongkat, kita semua patut sedar ia diperlukan kalau seseorang itu amat memerlukannya namun jika bagi mereka yang tidak perlu ianya boleh melemahkan.

“Kerajaan bertanggungjawab ialah kerajaan yang membantu rakyat dengan menyediakan pekerjaan, perniagaan untuk mereka berdikari, majukan diri bukan beri sagu hati untuk membeli undi sehingga mereka akhirnya begitu bergantung kepada kerajaan dan memberi kesan kepada negara dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program sihat bersama lebih 200 anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, di sini pada Ahad.

Tambah Ahmad Faizal, keputusan itu juga mencerminkan kejujuran kerajaan untuk membantu rakyat bukan sahaja untuk jangka pendek namun untuk jangka masa panjang.

“Pendirian kerajaan amat bersesuaian, walaupun ada pandangan negatif namun itu perbezaannya di antara seseorang yang cintakan negara serta rakyat mahu melihat mereka berdikari dan majukan diri walaupun tindakan itu tidak popular daripada seorang lagi yang memegang kitab “cash is king”.

“Untuk bantu rakyat itu tidak semestinya dengan BR1M, dengan hanya memberi ia boleh merugikan negara dan mengakibtkan kos sara tinggi serta melemahkan rakyat daripada menjadi lebih berdikari,” ujarnya.

Sementara, Menteri Besar memberitahu bagi konteks negeri, pihaknya sedang dalam proses memperkenalkan beberapa skim bantuan kepada golongan sasar di Perak.

“Antaranya ialah kad makanan dan kesihatan,  yang kita berpendapat dengan kad ini ia lebih berkesan kerana kalau kita beri wang tunai, berkemungkinan besar pengunaan wang itu akan ke tempat tidak sepatutnya.

“Ianya sedang proses kerana kita nak pastikan kad ini boleh digunakan di kedai-kedai runcit luar bandar dan sebagainya, selewat-lewatnya mungkin tahun hadapan akan dapat manfaat ini, insyaallah,” jelas Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang.