PARIT: Kerajaan Perak menyokong penuh tindakan kerajaan Malaysia menangani konflik terhadap Korea Utara.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia melibatkan hubungan diplomatik antara dua negara.

“Sebab seperti yang saya fahami berdasarkan kepada maklumat yang terbaru iaitu dari segi hubungan antara dua negara itu belum terputus secara rasminya, tetapi penegasan kita sebagai sebuah negara yang berdaulat sangat penting.

“Penegasan kita sebagai sebuah negara yang berdaulat sangat penting dan saya percaya kemampuan YAB Perdana Menteri yang juga saya anggap ahli diplomat yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Karnival Teras Keselamatan di SMK Layang-Layang Kiri pada Rabu.

Menurut Dr.Zambry, beliau menganggap Perdana Menteri sebagai ahli diplomat yang hebat kerana beliau mengikuti rombongan Datuk Seri Najib ke beberapa buah negara di peringkat anarabangsa dan mengadakan beberapa siri perbincangan diplomatik.

“Saya yakin dengan kehebatan dan kemampuan beliau menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku dan saya yakin ianya dapat diselesaikan dengan kemampuan Perdana Menteri kita,” ujarnya.