IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengisytiharkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri kini dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa sahaja.

 

Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN negeri berkata, persiapan rapi telahpun dibuat manakala pemilihan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sedang dibuat pihaknya.

 

“Kita telah bersedia, ianya bukan satu rahsia lagi bahawa PRU-14 akan diadakan tidak lama lagi, hanya dalam tempoh beberapa bulan.

 

“Calon itu memang kita dah kenalpasti namun proses penilaiannya masih lagi dijalankan kerana mengikut amalan biasa memang begitu, penilaian tidak akan berhenti selagi calon belum diumumkan,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

 

Tambah beliau, perbincangan mengenai pembahagian kerusi di antara parti komponen di dalam BN juga telah diadakan dan masih lagi berjalan.

 

“Soal pembahagian kerusi juga telah kita teliti dan  perbincangan masih berterusan…apa pun boleh berlaku kerana ia bergantung kepada konsesus dikalangan ahli-ahli BN dan ia bukan satu masalah untuk kita (BN),” katanya.

Ditanya mengenai kriteria calon, Dr Zambry berkata pemilihan BN tidak akan meletakkan faktor muka baru atau muka lama sebagai kayu pengukur calon.

 

“Kita akan lebih menitikberatkan sama ada calon yang kita ketengahkan likeable dan winable atau tidak..ini lebih penting,” jelas beliau.

 

Dr Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan UMNO dan BN negeri menghadapai PRU-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.