IPOH: Kerajaan Negeri Perak yang baharu akan memastikan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 tahun ini berjalan seperti yang dijadualkan.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri telah bersedia dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How diberi tanggungjawab untuk memantau perkara tersebut.

Malah, katanya, pada hari pertama memasuki pejabat, beliau sendiri telah diberi taklimat mengenai SUKMA dan exco berkenaan akan meneliti beberapa perkara yang berkaitan.

“Di samping itu, kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah meluluskan peruntukan tambahan bagi memastikan kelancaran penganjuran SUKMA,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertama di Bangunan Darul Ridzuan, hari ini.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, jumlah peruntukan tambahan itu masih terlalu awal untuk diumumkan, namun ia satu jumlah yang berpatutan untuk melancarkan penganjuran temasya sukan itu.

Sehubungan itu, kata beliau, pasukan pengurusan yang sedia ada di bawah Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal akan meneruskan penganjuran SUKMA yang dijadualkan September ini.

Beliau memberitahu, pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu dijangka akan dibuat pada Oktober, selepas ia kosong apabila Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan melepaskan jawatan itu kerana bertanding pada Pilihan Raya Umum ke -14 lalu.

SUKMA ke-19 Perak yang melibatkan kira-kira 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen seluruh negara dijangka berlangsung pada 12 hingga 22 September depan.

Sebanyak 26 sukan dengan 369 acara akan dipertandingkan di gelanggang yang terletak di semua 12 daerah di negeri Perak.