IPOH: Perak melakukan penambahbaiki terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor pelancongan bagi memulihkan semula sektor itu yang terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19.

Garis panduan itu disediakan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) yang bermesyuarat baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai langkah awal, mereka mahu memulihkan keyakinan pelancong domestik dengan memastikan destinasi pelancongan di negeri ini selamat.

“Semua pengusaha hotel, homestay atau kampungstay mesti mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia. PTAC telah merangka panduan amalan baik negeri Perak: pematuhan sop dan peningkatan keyakinan pelancong.

“Panduan ini bagi menambahbaik sop sedia ada agar lebih terperinci bersesuaian dengan amalan norma baru serta memenuhi keperluan industri pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan inisiatif digital `POP Travels Cer Citer’ di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Program latihan dan pertandingan itu yang terbuka kepada pemandu pelancong berlangsung selama lapan minggu sehingga ogos.

Ahmad Faizal berkata, melalui program itu, industri pelancongan di Perak bakal melalui penjenamaan semula melalui gabungan cerita rakyat dan teknologi masa kini.