BAGAN DATUK: Perak bercadang untuk menganjurkan kejohanan E-Sports peringkat kebangsaan bersempena Sukma 2018 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 22 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kejohanan antara negeri itu nanti akan melibatkan beberapa kategori serta permainan yang sedang hangat dimainkan pemain-pemain sukan itu.

“Kita mengambil langkah ini kerana menyedari sukan e-sports ini akan terlibat dalam temasya Olimpik akan datang dan Sukan Asia tahun hadapan.

“Kita juga tahu golongan muda ketika ini sedang rancak dalam jenis sukan ini, jadi kita sediakan platform untuk mereka untuk bermain secara lebih profesional dan mencungkil bakat,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mengadakan kejohanan e-sports peringkat negeri terdahulu pada April ini untuk mencungkil bakat pemain baru dan sebagai persediaan dalam menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan terbabit.

“Keterangan lanjut mengenai kedua-dua kejohanan itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Kita akan serah kepada penganjur untuk sediakan kepelbagaian kategori serta  sama ada memerlukan pemain atau wakil setiap negeri berada di venue ataupun secara ‘virtual’ dan sebagainya,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Rungkup.

SUKMA edisi ke-19  yang bakal berlangsung di Perak  nanti akan disertai oleh 11,000 atlet dan pegawai dari 14 kontinjen seluruh negara dalam 26 jenis sukan merangkumi 369 acara yang bakal dipertandingkan.

Kejohanan E-Sports melibatkan semua wakil negeri dalam negara itu dirancang untuk dianjurkan secara serentak dalam tempoh sama dan bukan dibawah Sukma 2018 itu sendiri.