LUMUT: Kerajaan negeri komited untuk melaksanakan misi menanam lima juta pokok di seluruh negeri Perak bagi menghijaukan semula negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, meskipun perancangan awal hanya melibatkan tiga juta pokok, namun pihaknya membuat keputusan untuk menambah dua juta lagi.

Menurut beliau, ia juga bertepatan dengan dasar kerajaan negeri pada tahun lepas dan tahun 2017 yang bermatlamat memastikan kualiti dan kelesterian alam sekitar Perak sentiasa terjamin.

“Pokok-pokok itu ditanam di hutan bagi menghijaukan semula kawasan tersebut setelah berlaku penebangan, termasuk di kawasan tanah rendah, berpaya atau kawasan di sekitar pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program 1,000 pokok teduhan untuk program Tree For A Tree Perak anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini pada pagi Jumaat.

Program yang diperkenalkan sejak 2014 itu mempunyai visi penanaman 1,000 pokok teduhan di sekitar Taman Awam Teluk Batik bagi tujuan kemudahan orang awam dan mencantikkan lanskap sedia ada selain meningkatkan kualiti udara dan alam sekitar.Dr Zamry berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 12,000 pokok teduhan ditanam di taman-taman awam sehingga hujung tahun ini.

Antara pokok yang ditanam adalah pokok gelam tikus, kayu manis, beruas,  salam dan brazillian ironwood. 

Dalam pada itu, Dr Zambry melahirkan rasa bangga dengan kerjasama yang diberikan syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut merealisasikan impian kerajaan dalam projek penanaman pokok di seluruh negeri.

“Dari segi penglibatan, pelbagai pihak  turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencapai matlamat tanam pokok.

“Malah ada syarikat seperti TNB menanam semula pokok-pokok yang telah pupus,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry menegaskan bagawa beliau akan meneruskan usaha dalam mewujudkan suasana yang bersih dan aman biarpun usaha murni itu mendapat tohmahan dari beberapa pihak.

“Apa yang saya laksanakan semalam bukan perkara yang baharu di Ipoh malah sudah beberapa kali sama ada media bersama ke tidak.

“Salahkah saya turun untuk merasai perasaan orang-orang yang membersihkan kawasan, malah itu adalah cara untuk memberi rangsangan kepada mereka bukan hanya memberi arahan daripada bilik,” katanya lagi.