SERI ISKANDAR: Perak menangguh larangan penggunaan bekas polisterina dan plastik yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk melakukan kajian menyeluruh mengenai larangan berkenaan.

“Kita tidak boleh menyelesaikan masalah plastik dan polisterina ini tanpa memberi sebarang alternatif kepada masyarakat atau persekitaran yang terkesan dengan larangan penggunaan bahan itu.

“Jadi, kita mempunyai pelbagai aspek yang perlu dikaji dan Exco Alam Sekitar telah diminta membuat kajian mendalam mengenai impak larangan berkenaan terhadap pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat negeri Perak yang bertema Guru Pembina Negara Bangsa di sini pada Isnin.

Tambah beliau, kajian yang sedang dibuat itu turut mengambil kira kesan larangan bahan berkenaan di negeri-negeri yang telah melaksanakannya.

“Kita menerima pelbagai respons daripada masyarakat dan kita tahu mereka mahu melihat persekitaran yang lebih bersih tanpa bahan buangan plastik dan polisterina ini.

“Namun dalam masa sama kita tidak mahu mewujudkan masalah lain atau menyusahkan rakyat dengan larangan ini jadi kita perlu betul-betul melakukan kajian ini terlebih dahulu,” ujar beliau.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, Perak akan menguatkuasakan larangan penggunaan plastik dan bekas polistirena sepenuhnya di seluruh negeri mulai Jun 2017.

Tambah beliau larangan tersebut tertakluk kepada semua jabatan, agensi kerajaan, orang awam, pasar raya dan premis perniagaan.