IPOH: Kerajaan negeri menawarkan diskaun 30 peratus kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Anak-anak Perak yang membuat pembayaran penuh baki pinjaman dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Dis 2017.

Exco Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Perak pada pertengahan Julai lepas.

“Kita akan bagi diskaun sebanyak 30 peratus kepada peminjam yang mempunyai baki melebihi RM1,001 dan ke atas dan melunaskan pinjaman itu secara bayaran penuh,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Perak melibatkan 505 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.6 juta.

Muhammad Amin berkata, pemberian diskaun itu bertujuan mengurangkan beban peminjam dalam melunaskan baki pinjaman mereka. — BERNAMA