IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikat milik penuh, Perak Teamwork Sdn Bhd (PTSB), telah melancarkan inisiatif baru melalui dua jenama baru iaitu Bean Here! Coffee & ice cream Co, sebuah jenama kafe Bean Here! dan The Space, sebuah “co-working space”.

Majlis perasmian ini telah diadakan di Aras 11, Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) dan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui siaran video dengan teknologi kolaborasi digital.
 

Bertepatan dengan norma baharu, majlis yang diacarakan oleh selebriti tempatan, Liza Hanim, telah dihadiri kira-kira 50 orang tetamu yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta disaksikan oleh ribuan warga Perak secara langsung melalui Youtube, dan Facebook.  
 

Dalam majlis yang sama, turut diadakan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) diantara Perak Teamwork Sdn Bhd bersama Ecomrade Sdn Bhd (ESB) melalui pengedaran produk Bio palet dan produk plastik biodegradasi mesra alam untuk negeri Perak.

Ecomrade Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat bumiputera yang telah menjalankan perniagaan produk yang berasaskan teknologi hijau sejak 2018 dan bertempat di Taiping, Perak.

Jalinan Kerjasama strategik ini akan mengorak langkah bagi PTSB dan ESB untuk menembusi semua lapisan masyarakat dan pasaran untuk mempromosikan penggunaan plastik biodegradasi.
 

Menteri Besar berharap, selari dengan Kempen Kesedaran Teknologi Hijau dan Mesra Alam, inisiatif ini dapat dimulakan keseluruh Negeri Perak terutama jabatan-jabatan kerajaan, GLC, pusat pengajian tempatan, sekolah-sekolah dan seterusnya orang awam.

Ecomrade Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Rosdan Sulaiman dan pihak PTSB diwakili oleh Pemangku Pengurus Besar, Syed Omar Albar Syed Abdullah.

 
Selain MOU bersama Ecomrade, PTSB turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Digital Perak di dalam mempromosikan perkhidmatan bersama Hub Inovasi & Multimedia dan The Space & Bean Here!.

Memorandum persefahaman itu selaras dengan matlamat untuk merancakkan kembali sektor ekonomi Negeri Perak.

Kerjasama strategik ini dicapai untuk menggalakkan penggunaan kemudahan fasiliti co-working space yang disediakan di Hub Inovasi & Multimedia (HiM), Pasaraya Mydin Meru Raya dan The Space, Aras 11, Perak Techno Trade Centre (PTTC).

Pemeteraian MoU tersebut merupakan langkah positif yang diambil oleh kedua-dua agensi dalam rancangan untuk membuka cawangan communal workspace di Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Communal workspace ini sesuai untuk disewa oleh usahawan, freelances, SME dan korporat.
 

Digital Perak diwakili oleh Ketua Eksekutif, Meor Rezal Fitri Meor Redwan manakala, PTSB diwakili oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Mohd Ariff Yeop Ishak.