IPOH: Perak telah menaikkan jawatan mufti setaraf Exco kerajaan negeri sejak kira-kira 15 tahun lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli (kini Tan Sri) Ghazali telah mengumumkan perkara tersebut.

“Perak dah mula dekat 15 tahun, ketika zaman Datuk Seri Tajol, beliau telah umumkan dari dulu lagi dah,” katanya dalam sidang media selepas Sidang DUN di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharon yang mencadangkan jawatan mufti diberi taraf exco di peringkat negeri.

Menurut menteri berkenaan, ia bagi membolehkan pandangan mereka dalam mesyuarat exco boleh disalurkan kepada kerajaan.