TAIPING – Kerajaan negeri belum menerima sebarang cadangan baharu pembinaan sebuah lebuhraya alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan dari mana-mana pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan terutama membabitkan kawasan Terowong Menora.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, perkara itu termasuklah cadangan pembinaan Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan(Jelas) dari Jelapang, Ipoh ke Batu Kawan, Pulau Pinang yang dirancang dibina sepanjang 116 kilometer oleh sebuah syarikat.

Menurutnya, pihaknya mengakui cadangan pembinaan lebuhraya Jelas memang pernah dibangkitkan dalam sidang Dun sewaktu kerajaan BN terdahulu, namun apabila PH mengambil alih kerajaan selepas PRU14, tiada sebarang dokumentasi cadangan dihantar.

“Kerajaan Perak memang sedang meneliti semula cadangan mewujudkan lebuhraya baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan tinggi di kawasan Terowong Menora, Kuala Kangsar, namun hingga kini perkara itu masih sedang diperhalusi dan belum ada cadangan konkrit.

“Bagaimanapun, sekiranya ada cadangan baharu, kerajaan PH Perak sedia mempertimbangkannya dalam mesyuarat Exco akan datang,”katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penutup program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat dan Media di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, kerajaan Perak kini memberikan fokus kepada pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Sabak Bernam ke Changkat Jering yang kini sedang dalam pembinaan.

“Buat masa kini, sebarang usaha pembinaan lebuhraya baharu selain Lebuhraya Pantai Barat akan memakan masa di samping memberi kesan kepada kewangan kerajaan.

“Kita yakin dengan siapnya lebuhraya berkenaan, kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori dapat dikurangkan kerana mereka akan mula menggunakan lebuhraya alternatif itu kelak,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Timbalan Pengarah Projek BMT Jelaa Sdn Bhd, Ahmad Sayufei Zainuddin yang menegaskan sudah tiba masanya pelaksanaan pembinaan lebuhraya Jelas yang sudah tertangguh sejak lapan tahun lalu dilaksanakan semula kerajaan pusat.

Menurutnya, cadangan asal lebuhraya berkenaan bermula pada tahun 2010 dengan laluan permulaan melibatkan Jelapang, Ipoh dan Selama, sebelum ditambah ke laluan Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Lebuhraya sepanjang 116 kilometer yang mempunyai tiga lorong dua hala ini dijangka siap dalam tiga tahun setelah mendapat kelulusan kerajaan pusat.

“Pada masa kini, kerajaan Pulau Pinang sudah memberikan sokongan kepada kami untuk melaksanakan projek lebuhraya ini, cuma kini kami masih menunggu keputusan kerajaan Perak untuk merealisasikannya,”katanya – sinar