KAMPUNG GAJAH – Daerah Perak Tengah mempunyai pontesi besar untuk dijadikan sebagai hab baharu pengeluaran durian negara, katanya Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, Perak Tengah ketika ini merupakan salah satu kawasan pengeluaran durian terbanyak di negara ini namun namun tidak diketengahkan.

 

“Kampung Gajah, Parit dan Bota memang sudah terkenal dengan pengeluaran durian dan memang sudah ada branding tetapi kita tak eksploitasi jenama itu.

 

“Kita akan lakukan kajian terperinci seperti jumlah sebenar kawasan yang ditanam durian di sini dan sambutan maysrakat sebelum kita jadikan kawasan ini sebagai hab,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah di Kampung Pulau Tiga Kiri, di sini, hari ini.

 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali, Adun Kampung Gajah, Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali dan Pengarah Pertanian Perak, Noorazmi Yahya.

 

Tambah Tajuddin, pengeluaan durian boleh dijadikan sebagai industri baharu serta berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara serta mereka yang mengusahakannya.

 

Justeru katanya, masyarakat khususnya pemilik kebun harus menyedari perkara itu dan merebut peluang berkenaan.

 

“Sikap pemilik dusun kena ubah, kena bercita-cita tinggi untuk mendapat kejayaan yang lebih baik, kerana ini bukan sekadar boleh meraih pendapatan lumayan tetapi boleh jadi jutawan.

 

“Kita memang seru orang ramai agar tanam durian kerana permintaanya yang tinggi serta harga yang mahal,” ujarnya.

 

Setakat ini terdapat seramai 3,800 penanam durian dengan keluasan 2,300 hektar di seluruh Perak, yang mana 427 pekebun berpusat di Perak Tengah dengan kebun berkeluasan 450 hektar.