SERI ISKANDAR: Pihak polis meyakinkan orang ramai agar tidak risau mengenai tahap keselamatan di sekitar kawasan Perak Tengah, khususnya sepanjang program Permukiman Menteri Besar yang bermula Selasa depan.

Kerisauan itu muncul ekoran insiden amaran bom palsu pada Sabtu lalu oleh seorang lelaki berusia 30 tahun yang mendakwa menjumpai bahan letupan itu dalam keretanya, menyebabkan ramai berasa cemas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, kejadian itu hanyalah tindakan individu yang cuba menarik perhatian orang ramai.

“Saya nak yakinkan orang ramai, Perak Tengah berada dalam keadaan selamat, ancaman palsu itu sekadar menarik perhatian kita, polis sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

“Untuk pengetahuan semua, kita telah memastikan semua lokasi di Perak Tengah selamat dan rondaan berkala dilakukan, bukan setakat untuk permukiman, malah secara tersusun dan setiap hari untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada Suara Perak.

Zainal berkata untuk program permukiman akan datang, pihaknya juga bersedia untuk memberi bantuan dalam memastikan kelancaran program turun padang khususnya di sekitar Parit, Bota, Seri Iskandar dan Tanjung Belanja.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu, polis telah menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas mengakui kenderaan yang dipandunya mengandungi bom di simpang lampu isyarat Bota Kiri.