IPOH: Perak muncul negeri teratas dalam senarai negeri-negeri yang mencatatkan perkembangan terbaik dalam memerangi penularan pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan Perak mempunyai bilangan kes aktif terendah, iaitu 25 pesakit (9.9 peratus) yang masih menjalani rawatan berbanding dengan jumlah 252 kes positif jangkitan COVID-19 yang direkodkan.

Di samping itu, katanya, Perak juga adalah salah satu daripada enam negeri yang bebas daripada klasifikasi zon merah bagi kes aktif, susulan penurunan jumlah kes jangkitan baharu.

Menurutnya, sesuatu daerah diklasifikasikan sebagai xon merah apabila bilangan kes aktif melebihi 41 kes.

“Jutaan tahniah dan syabas kepada setiap petugas barisan hadapan perubatan, keselamatan dan pentadbiran yang telah bekerja keras bagi mencapai angka-angka yang melegakan ini.

“Tahniah juga kepada semua rakyat negeri ini yang telah memberi komitmen terbaik mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam entri terbaharu Facebook beliau, hari ini.

Beliau menasihatkan rakyat supaya terus mematuhi PKP, amalkan penjarakan sosial, selalu cuci tangan dan jaga kebersihan diri.

“Moh (mari) kita hijaukan semua daerah di negeri ini, Perak boleh,” katanya.