Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri Perak terbuka untuk mengambil inspirasi daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk menarik lebih banyak syarikat-syarikat dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada lepasan graduan di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata saranan tersebut menawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta untuk menglibatkan diri dalam Pusat Kerjaya AmanJaya (PEKA) bagi tawaran tender atau kontrak di Perak.

Katanya, dasar persekutuan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas itu merupakan satu inisiatif yang baik malah dapat mewujudkan budaya kolaborasi yang mampan.

“Pusat Kerjaya Amanjaya, PEKA, adalah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri tetapi tidak bermakna kita tidak bekerja bersama di peringkat persekutuan, contohnya dalam Job Fair kita juga masukkan agensi persekutuan.

“Maknanya kita terbuka, untuk bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat untuk memastikan rakyat di negeri Perak khususnya untuk mendapatkan peluang pekerjaan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia Zon Barat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.
SL1M 5

Dr Zambry berkata setakat ini sebanyak 40,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan melalui Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) hasil daripada kerjasama dengan syarikat di pelbagai bidang untuk membantu lepasan graduan di seluruh negeri.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata pihaknya akan meneruskan saranan Perdana Menteri untuk membuka keutamaan kepada syarikat-syarikat yang melibatkan diri dalam SL1M baik dari segi latihan dan peluang pekerjaan.

Katanya, mana-mana syarikat baik swasta dan GLC yang mempunyai kepentingan urusan tender dan kontrak dengan kerajaan harus mengambil bahagian dalam SL1M.
“Katakan mereka mahu peluang perniagaan dengan kerajaan, maka mereka perlu memberi peluang kepada pencari kerja, jangan mereka nak projek tetapi tidak menawarkan sebarang peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan pula.

“Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, syarikat yang mempunyai track record dalam SL1M akan diberikan keutamaan dalam peluang perniagaan, dan setakat ini memang ada peningkatan dari segi syarikat GLC yang berminat, dan saya gembira dengan perkembangan ini,”katanya kepada pemberita.

Tambahnya, sejak penubuhannya pada tahun 2011 SL1M telah berjaya menawarkan lebih daripada 135,000 peluang pekerjaan melalui siri jelajah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa yang dilaksanakan SL1M adalah untuk memenuhi demand and supply, kerana kebiasaannya ramai yang mencari pekerjaan melalui portal dan ruang iklan tetapi pendekatan kita lebih agresif, iaitu menemukan syarikat dan pelatih dalam tempat yang sama, jadi ini bukan kerja yang senang,”katanya lagi.

Lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 61 agensi dan syarikat kepada lepasan graduan sepanjang dua hari berlangsungnya Program Temuduga Terbuka SL1M Zon Barat di UPSI bermula 23 hingga 24 September ini.