KUALA KANGSAR – Perak menerima peruntukkan RM152 juta bagi persediaan untuk menganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin berkata, peruntukkan itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri bagi pembangunan semula dan membaik pulih kemudahan-kemudahan sukan di Perak menjelang temasya itu.

“Kelulusan ini telah diberi oleh kerajaan pusat melalui kementerian saya dan ini adalah komitmen kita untuk membantu kerajaan negeri Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan FitMalaysia@Perak di Kuala Kangsar pada Ahad.

Beliau turut memberitahu peruntukkan itu tidak termasuk membaik pulih Velodrom Rakyat di Ipoh.

“Ini tidak termasuk Velodrom Ipoh yang bakal sedia pada akhir tahun atau tahun depan, ianya akan dibaik pulih dalam masa terdekat ini.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut hadir pada program itu telah mengucapkan penghargaan kepada komitmen kerajaan pusat itu.

“Kita akan gunakan bagi tujuan memperbaiki stadium kita termasuk kolam renang serta beberapa lagi fasiliti sukan dan padang sasar kita.

“Akan kita perbaiki segala permudahan supaya ianua dapat digunakan pada SUKMA 2018 nanti,” ujarnya.