IPOH: Perak menerima lebih RM648 juta pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekaligus menafikan dakwaan pembangkang kononnya hanya RM50.9 juta sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, jumlah itu juga meletakkan Perak negeri kelima teratas di Malaysia.

Terdahulu, Yong Choo Kiong (DAP – Tronoh) di dalam perbahasannya mendakwa kemasukan pelaburan asing (FDI) di negeri Perak dikatakan terendah di Malaysia untuk tahun 2016, iaitu RM50.9 juta sahaja.

Beliau turut menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang wakil rakyat pembangkang terhadap kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) sehingga membuat kesimpulan Perak negeri kedua termiskin.

Zahir berkata, kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali dan diakui sendiri oleh Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzanidalam pertemuan yang diadakan di Ipoh semasa Pangkor Dialogue lalu.

“Kesimpulan yang telah diambil oleh ahli-ahli yang berhormat berkenaan hanyalah berdasarkan pendapatan purata sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan semasa Sidang DUN pada Isnin.

Menjelaskan lanjut semasa sidang media kemudiannya, Zahir memberitahu, kadar purata pendapatan isi rumah di Perak meningkat lebih 100 peratus tahun ini, berbanding tahun 2009.

Katanya, pendapatan perkapita pada tahun 2009 hanyalah RM2,809 kepada hampir RM7,000 sehingga tahun ini.

“Ianya lebih kurang sama dengan kadar purata kebangsaan yang hendak dikeluarkan dan ini menunjukkan pertambahan beberapa ratus peratus, ini satu kejayaan,” kata beliau.

Bukan itu sahaja, ujar Zahir, pekali gini atau jurang antara yang kaya dan miskin juga telah dapat dikurangkan, hasil dasar kerajaan negeri yang mengekankan tiada tertinggal, tiada terpinggir.

Zahir turut melahirkan rasa hairan mengapa pihak pembangkang terus menerus menghentam Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) walaupun telah banyak membantu kerajaan negeri, termasuk mengurangkan ketirisan.

Di dalam penggulungnya, beliau memberitahu, sehingga kini MB Inc telah memberi sumbangan sebanyak RM41 juta kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, pengurusan pasir negeri Perak telah diiktiraf sebagai pengurusan terbaik di Malaysia oleh Jawatankuasa Intergriti dan Tadbir Urus (JITU) kebangsaan serta disarankan untuk dijadikan model bagi digunapakai di seluruh negara.

Malahan, katanya, Sistem Pengurusan Sumber Mineral (SPSM) yang dibangunkan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah berjaya membantu pasukan penguatkuasaan PTG untuk mengurangkan masalah ketirisan hasil pasir telah memenangi Anugerah Ketua Setiausaha Negara di Majlis Inovasi Perkhidmatan Awam 2016.