SEGARI: Kerajaan negeri Perak akan terus membantu membaiki rumah-rumah yang daif di negeri, di samping peruntukan yang diberikan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu bersyukur dengan apa yang diperolehi dan dinikmati sekarang.

“Kita perlu menjadi golongan yang bersyukur supaya Allah terus memberi limpahan nikmat,” katanya ketika berucap melancarkan Program Baikpulih Rumah Secara Gotong Royong DUN Pangkor di Kg Batu 3 Segari di sini pada Jumaat.

Hadir sana Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Di bawah program yang turut mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, setiap rumah menerima peruntukan baik pulih sebanyak RM10,000.

MB-gotong-royong 5

Difahamkan sebanyak 10 buah rumah dipilih untuk program tersebut di setiap kawasan Parlimen.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut menyempurnakan gimik pelancaran dengan memasang bata rumah pasangan suami isteri, Razali Md Desa, 47, dan Maria Zakaria, 45.

Pasangan suami itu melahirkan rasa syukur apabila rumah mereka terpilih untuk menyertai program tersebut, ditambah dengan kehadiran Menteri Besar sendiri.

“Alhamdulillah, tak tahu apa nak cakap lagi, rasa berdebar-debar apabila diberitahu Menteri Besar sendiri nak datang tengok,” kata Maria.

Pasangan suami isteri itu mempunyai empat orang anak tetapi seorang daripadanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya kira-kira empat tahun lalu.