IPOH 3 April – Kerajaan negeri menafikan tidak mengambil berat atau menganaktirikan sukan Muay Thai atau mendiskriminasi sesetengah atlet yang telah mengharumkan nama negara dan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya sebaliknya mengambil pendirian untuk hanya bekerjasama dengan persatuan yang diiktiraf iaitu Persatuan Muay Thai Perak (PMTP).

Beliau berkata, hasil penelitian mendapati Persatuan Muay Perak (PMP) merupakan badan yang tidak diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri sedia menjadi pemudah cara dalam menyelaras pertemuan serta perbincangan bersama PMTP bagi membantu pembangunan sukan itu di negeri ini apatah lagi sukan tersebut telah dipersetujui untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada semua wakil yang telah memenangi pingat di Kejohanan Muay Thai Dunia (WMF) 2019 di Bangkok dan Kejohanan Festival Muay Thai di Pattaya, Thailand baru-baru ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa segala usaha yang diambil oleh kerajaan negeri adalah berlandaskan kepada undang-undang dan mengikut struktur pengiktirafan yang telah ditetapkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Jadi, kami berani kerana benar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi menjelaskan tohmahan serta persepsi kerajaan negeri memandang remeh pembangunan sukan Muay Thai.

Baru-baru ini, tiga anak jati Perak merangkul dua emas dan satu gangsa pada Festival Festival Muay Thai Dunia di Pattaya, Thailand.

Presiden PMP, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab dilaporkan berkata, kerajaan negeri diharap dapat memberi sokongan dan bantuan dari segi kewangan kepada tiga anak muda berkenaan untuk membawa nama negara ke persada antarabangsa. – UTUSAN ONLINE