IPOH: Perak akan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan di negara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, sambutan itu akan diadakan di Tapah pada awal Oktober ini.

Menurut beliau, pihaknya masih menunggu tarikh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan merasmikan sambutan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati kerana sambutan julung-julung kali itu bakal diadakan di Perak.

“Bagi pihak negeri Perak, kami amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana memilih Perak sebagai tuan rumah sambutan yang julung-julung kali diadakan itu,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Rina di pejabatnya di sini, hari ini.

Sambutan Hari Orang Asli Sedunia diraikan pada 9 Ogos setiap tahun untuk mempromosi dan melindungi hak Orang Asli.

Acara ini juga mengiktiraf segala pencapaian dan sumbangan oleh Orang Asli.

Sebelum ini, Malaysia hanya menganjurkan sambutan secara kecil-kecilan dalam bentuk karnival.