Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah majlis penasihat yang berperanan mengenalpasti kaedah terbaik menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke dalam Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata dikenali sebagai Majlis Penasihat Pelaburan, Industi dan Pembangunan Koridor, ia juga akan
mencadangkan bentuk pelaburan terbaik untuk mencapai piawaian perindustrian berstatus antarabangsa.

Malah, Ir Nizar berkata antara langkah yang perlu dimulakan majlis penasihat itu adalah membina satu suasana yang memenuhi kehendak global seperti taman industri dan taman pelaburan moden.

“Kita akan melantik seramai tujuh orang individu berstatus professional yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik, kecuali dua individu yang merupakan ahli Pakatan Harapan.

“Peranan utama mereka adalah untuk menasihatkan saya (kaedah) dalam menggalakkan pelaburan baru dan memperkasakakn pelaburan sedia ada,…dan badan ini ditubuhkan di bawah portfolio saya untuk merangsang pelaburan menjadi mesra dan cemerlang,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Unit Perancang Ekonomi Negeri(UPEN), di sini,hari ini.

Ir Nizar turut berkata bahawa majlis penasihat itu akan berperanan mengenalpasti potensi meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang baik kesihatan dan pendidikan serta pertanian atau pembuatan.

Jelasnya,majlis penasihat tersebut juga akan membantu untuk menambah hasil negeri serta meningkatkan peluang-peluang pekerjaan.

“Bila hasil kita (meningkat), kita boleh beri balik kepada rakyat. Kita mahu mencapai status sebagai negeri mesra pelabur.

“Sekiranya kalau ada pelabur yang menetap di Perak yang menghadapi masalah di masa lampau, saya merayu supaya beritahu kami supaya kita selesaikan,”katanya lagi.

Buat masa ini, Ir Nizar berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Invest Perak untuk menubuhkan majlis penasihat terbabit dan sedang menantikan usul daripada mereka.

Menurutnya, pihaknya akan bersifat terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pelabur baharu yang menunjukkan minat namun belu menghantar permohonan kepada kerajaan negeri.

“Walaupun kita sudah mempunyai dasar-dasar pelaburan sedia ada, masih ada kemungkinan ianya perlu dipertingkatkan. Dia ( majlis penasihat) tersebut tidak akan bercanggah dengwn Invest Perak,”ujarnya.

Katanya, perlantikan telah dilaksanakan dan kesemua ahli tersebut mempunyai latar belakang berbeza yang terdedah kepada pelaburan dalam dan luar negara.

“Dengan entiti ini, kita akan ada satu badan yang menasihati saya dan fasilitator iaitu Invest Perak, termasuklah Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara(NCIA), yang turut akan dinasihatkan oleh majlis penasihat ini,ujarnya lagi.

Antara yang menjadi ahli penasihat tersebut adalah Tan Sri Yong Poh Kon,Datuk Ir Muhammad Hafni Ibrahim,Dr Lim Teck Ghee, dan ADUN Kamunting,Prof Ir Dr Muhd Fadhil Nuruddin serta Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Pembangunan Modal Insan,YB Howard Lee Chuan How.